Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Kepimpinan berwawasan melalui strategi hijrah terancang
02/07/2025

 


Bagi menyemarakkan tahun baharu Islam, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya mengadakan Majlis Sambutan Ilal Hijrah 1447 dengan tema 'Semarak Hijrah Mencapai Kecemerlangan Yang Mampan'.

Majlis diadakan di Dewan Bankuet, Bangunan JPM, petang tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Pemangku Setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, para jemputan khas, ketua-ketua jabatan serta pegawai dan kakitangan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Ash-Shaliheen, Awang Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran.

Acara kemudian diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh mahasiswa Tahun 3, Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama Seri Begawan (Pendidikan Islam), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Muhammad Nur Razin bin Rosli. Manakala inti sari dibacakan oleh mahasiswa Tahun 3, Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama (Keusahawanan Digital), KUPU SB, Awang Abdussyakur bin Haji Jahari.

Majlis turut disemarakkan dengan Ceramah Khas bertajuk 'Hijrah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Model Kepimpinan Berintegriti dan Berwawasan', yang disampaikan oleh Penolong Profesor Fakulti Syariah, KUPU SB, Dr. Haji Noralizam bin Haji Aliakbar.

Dr. Haji Noralizam dalam ceramahnya menjelaskan berkenaan dengan peristiwa hijrah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam yang bukan sekadar perpindahan fizikal dari Mekah ke Madinah, tetapi merupakan lambang kepimpinan yang menggabungkan integriti yang tinggi dengan visi yang jauh ke hadapan.

Menurutnya, Baginda Sallallahu Alaihi Wassalam menunjukkan nilai-nilai kepimpinan berintegriti sejak sebelum kenabian yang dikenali sebagai Al-Amin, mengembalikan amanah, menolak hadiah demi menjaga prinsip, dan sentiasa berlaku adil walaupun terhadap anak yatim.

Dalam masa yang sama ujarnya lagi, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga membuktikan kepimpinan berwawasan melalui strategi hijrah yang terancang, pemilihan lokasi Madinah yang strategik, serta membina masyarakat baharu dengan sistem sosial, politik dan ekonomi berteraskan Islam.

"Hijrah juga menjadi titik tolak kepada pembinaan tamadun Islam yang kukuh, dengan asas keadilan, persaudaraan dan kerjasama ekonomi.

"Hijrah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam adalah teladan unggul untuk para pemimpin bahawa kepimpinan sejati menuntut amanah, keberanian moral, kebijaksanaan strategi, dan berpaksikan wahyu Allah Subhanahu Wata'ala," ujarnya lagi.

Seterusnya, majlis diserikan dengan Selawat Tafrijiyyah yang dipimpin oleh pegawai dan kakitangan dari Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB).

Majlis pada tahun ini dikendalikan bersama oleh Jabatan Tenaga di JPM, Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat (MMN) dan Jabatan Audit.

Ia merupakan salah satu aktiviti tahunan JPM untuk memuliakan acara-acara kebesaran Islam, di samping mengeratkan silaturahim di antara pegawai-pegawai dan kakitangan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto